Monday, November 3, 2008

Iman, Islam dan Ehsan....Melayu yang tak pernah layu

Ilustrasi oleh theroomwithonedoor , flickr.com ( bomoh hujan)


Sebelum kedatangan Islam di Nusantara, penduduk di Asia Tenggara adalah terdiri daripada penganut fahaman Buddha Syinrawath ( Buddha Puja Dewa ). Pada ketika itu penganut-penganutnya sudah pun sedia mengamalkan perkara-perkara luar biasa yang menyalahi kebiasaan iaitu " Mencarik adat " yang lahir hasil daripada pemuJaan ‘ dewa-dewi’, jampi serapah atau yang seumpamanya. Keadaan ini berlaku adalah hasil daripada pertolongan jembalang-jembalang yang terdiri daripada Jin samada dengan menjelma ke dalam diri pemujanya ( Tanasukh Aruah ), Istidraj, Sihir atau silap mata. Semua amalan ini amat kuat pengaruhnya dalam kehidupan seharian mereka pada waktu itu. Mereka mengabdikan diri hanya kepada Dewa-Dewi semata-mata. Dalam konteks ini pegangan fahaman beragama adalah bersumberkan daripada Rahib-rahib yang dikatakan mendapat ilham dari tuhan dewa-dewi samada Dewa Rama, Dewa Sita, Dewa Siva dan yang seumpamanya.


Ketika Islam tersebar luas di Semenanjung Arab hingga ke Eropah dan juga ke Asia, maka banyaklah mubaligh-mubaligh Islam dari kalangan orang-orang Arab dan bukan Arab yang datang membawa agama Islam ke sebelah Asia Tenggara sebagai pedagang. Dari situ Islam mula bertapak dengan kuatnya di negeri-negeri bawah angin ini.


Gejala isma-isma yang tidak sihat pada waktu itu beransur-ansur hilang kegemilangannya bahkan di sesetengah tempat, umpamanya Acheh isma-isma tersebut telah di benteras sehingga ke akar umbinya. Inilah hasil daripada tarbiah dan didikan mubaligh-mubaligh dan para Daei Islam yang benar-benar alim lagi sufi. Kehadiran mubaligh-mubaligh tersebut seumpama membawa sirna kegemilangan dan kecemerlangan kepada penduduk tempatan sehingga pada satu ketika Acheh mendapat jolokan sebagai Serambi Mekah.


Setelah sekian lama gejala pemujaan jampi serapah hilang, akhirnya ia timbul semula setelah Portugis, Belanda, Spanyol, Perancis, Amerika dan Inggeris berusaha menakluki Asia Tenggara dengan memperkenalkan agama Kristian di samping perdagangan yang menyebabkan orang Islam bangun menentang mereka. Pada suatu ketika Belanda telah membunuh lebih daripada 6,000 Ulama Islam di Tanah Jawa. Pada ketika itu ulama merupakan tokoh pemimpin yang utama dalam semua aktiviti harian bermula dari aspek agama, sosial dan kemasyarakatan, ketenteraan hinggalah kepada perubatan dan sebagainya. Mereka inilah yang banyak memainkan peranan penting dalam menggerakkan penentangan terhadap penjajahan barat, kerana merekalah yang terlebih dahulu mengenali erti hidup beragama serta beramal dengannya, lebih dahulu merasai bahang campurtangan asing, lebih dahulu menghidu bau najis Mughalazah penjajahan dalam kebudayaan, tipu daya pemerintahan dan tipu daya dalam ketenteraan dan sebagainya ke atas negerinya dan anak-anak bangsanya.


Akibat daripada peristiwa itu, maka saki baki pahlawan Islam yang hilang pedoman telah cuba meneruskan perjuangan menentang Belanda dan Inggeris dengan kekuatan dan keilmuan apa saja yang ada pada mereka asalkan mereka mampu. Dalam keadaan terdesak itu mereka berusaha memperolehi daya kekuatan yang yang luar biasa melalui amalan-amalan cara hulubalang, wirid-wirid, jampi serapah dan yang seumpama dengannya, melalui kaedah biasa dan setengah daripada mereka melalui Uzlah ( bertapa dan riadah ), maka datanglah pula jembalang-jembalang daripada Jin samada Jin Islam atau Jin Kafir yang berhubung dengan mereka, dengan cara Tanasukh Aruah ( penjelmaan ke dalam diri ), istidraj, sihir atau silap mata yang menolong mereka menghasilkan hajat mereka, yang pada sangkaan mereka adalah malaikat-malaikat atau wali-wali atau Nabi Khaidir yang telah datang berhubung dengan mereka.


Sementara itu di Tanah Jawa timbul pula fahaman Wahdatu Ujud yang tidak dapat membezakan di antara Wahdatul Ujud Marhumah ( dalam bab Sufi ) dengan Wahdatul Ujud Mazmumah ( dalam I’tiqad di panggil Hulluliah, Mulhid, Zindik ) sehingga tertegaklah kerajaan yang seumpama itu, iaitu kerajaan Mataram. Fahaman ini adalah hasil daripada pengaruh Syiah. Bermula dari sinilah wujud semula berbagai-bagai rupa bentuk amalan kerohanian, wirid-wirid dan jampi serapah yang menyeleweng dari aqidah syari’at Ubudiah Islamiah yang sebenar ke hadrat Allah seperti yang dibentangkan oleh ulama-ulama terdahulu yang mahir dan ahli pada babnya di dalam kitab-kitab karangan mereka.
Terdapat juga dari golongan ini yang memesongkan amalan-amalan mereka bagi kepentingan diri, dengan tujuan :


1. Langkah mempertahankan diri bagi mendapatkan kemegahan dunia ( hanya kepada bangsa semata-mata )

2. Amalan-amalan kebatinan dalam menuntut kemegahan.

3. Perubatan ( bomoh, tok pawang, tok bidan dan sebagainya )

4. Berlagak jadi tok sufi ( wali ) yang sentiasa mendapat jazbah ketuhanan.


Dari sini merebaklah amalan -amalan karut yang mendapat kekuatan luar biasa daripada bantuan Jin-Jin. Maka ramailah pahlawan-pahlawan Melayu mengambil amalan-amalan ini dengan tujuan untuk mempertahankan diri sendiri dan untuk menewaskan musuh di samping untuk kepentingan masyarakat sekitarnya. Akhirnya mereka telah lupa kepada ajaran-ajaran agama yang telah disampaikan kepada mereka, lalu mereka lebih mementingkan kekuatan material dan kebendaan semata-mata daripada kepentingan akhirat. Lebih jahat lagi, mereka menjadikan adat resam keturunan ke dalam syariat agama Islam sebagai satu amalan yang dimestikan, walaupun terang-terang amalan itu menyalahi ajaran Islam, samada dari segi Fiqh, Akidah, dan Akhlak.


Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, anutan masyarakat Melayu pada ketika itu, boleh di bahagikan kepada tiga kumpulan agama yang terbesar iaitu :-


1. Agama Buddha Puja Dewa

2. Agama Hindu Puja Dewi

3. Amalan orang-orang Asli. ( Animisme )


Orang-orang Asli sangat kuat berpegang kepada berbagai-bagai kaedah pemujaan Jin sehingga Tok-tok Batin orang Asli di ukur akan kehebatan diri mereka, dengan had ukuran panjang rambut di kepala mereka.


Percantuman 3 puak ini samada melalui nikah kahwin atau seumpamanya menghasilkan suatu kemantapan yang kukuh dalam adat resam dan istiadat kebudayaan orang Melayu, di samping membuahkan pelbagai rupa bentuk ilmu, amalan dan kaedah pemujaan dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu perkara yang luar biasa dan mencarik adat, berlumba-lumba untuk menjadi jaguh atau orang yang paling handal di kalangan mereka, untuk bermegah-megah, gagah, orang yang paling berkuasa, orang yang paling di hormati, di segani dan sebagainya. (Lihat carta amalan-amalan Khurafat )


Islam datang ke Asia Tenggara samada melalui Negeri China, Yaman, Parsi atau India dan bertapak kukuh sehingga lebih kurang 200 tahun sahaja. Selepas itu masuklah pula pengaruh agama Kristian melalui penjajahan kuasa-kuasa Barat. Manakala di dalam masyarakat Islam sendiri pula telah di pengaruhi oleh pengaruh-pengaruh Rafidiah, Kharijiah, Qadariah, Jabariah dan sebagainya sehingga menimbulkan berbagai-bagai kefahaman dan aliran dalam mempraktikan ajaran Islam. Keadaan ini menyebabkan sesetengahnya pula terjerumus kedalam gaung kesesatan berikut :


1. Bida’ah Dholalah yang Karohah dan Bida’ah yang haram dalam Syariat

2. Berada dalam salah satu daripada 72 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab Aqidah.

3. Berada dalam salah satu daripada 13 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab Sufi
Daripada pecahan di atas maka wujudlah berbagai-bagai kelompok masyarakat Melayu yang mempunyai fahaman dan amalan masing-masing . Dari situ lahirlah amalan-amalan yang di panggil amalan "Kebatinan ´ atau " Ilmu Hakikat " ( Ilmu Isi ) yang meninggalkan amal syariat sehinggakan sembahyang hanyalah dengan niat sahaja. Puak-puak yang sesat ini dapat di lihat menerusi amalan yang mereka lakukan dalam menunaikan ibadat kepada Allah.


Ringkasnya apa jua amalan yang tidak mengikut garis panduan Al-Quran, Hadis Rasullullah s.a.w, Ijma dan Qias adalah termasuk dalam salah satu daripada fahaman-fahaman yang sesat daripada tiga kelompok besar di atas.


Pada dasarnya amalan beragama orang-orang Melayu sebelum kedatangan Islam bolehlah dibahagikan kepada tiga kepercayaan yang besar iaitu :-


1. Orang-orang Melayu yang beragama Buddha Puja Dewa

2. Orang-orang Melayu yang beragama Hindu Puja Dewi

3. Orang-orang Melayu yang berpegang dan beramal dengan amalan orang-orang Asli. ( Animisme )


Akibat dari ajaran dan pegangan mereka itu lahir dan wujudlah berbagai-bagai bentuk kebudayaan dan adat resam mengikut jenis agama dan kepercayaan yang mereka anuti. Kedatangan Islam ke Nusantara selepas itu telah berjaya membasmi kepercayaan karut dalam masyarakat Melayu pada ketika itu. Namun tidak semua masyarakat Melayu yang mahu meninggalkan kepercayaan mereka secara keseluruhan dan sehingga ke hari ini, kita masih dapat melihat betapa amalan Khurafat itu masih tegak dan tetap hidup dalam adat resam dan kebudayaan Melayu terutamanya dalam majlis perkahwinan, kematian, perbomohan dan perbidanan, latihan pertahanan diri dan sebagainya. Di samping itu kepercayaan kepada benda-benda keramat seperti keris, kubur, pokok besar, batu dan sebagainya begitu kuat sehingga dapat di lihat sesetengah orang Melayu yang masih menjaga dan menyimpan dengan baik keris pesaka sejak turun temurun, yang dikatakan sebagai "Penjaga keluarga."


Kepercayaan seperti ini ada hubungannya dengan asal-usul orang Melayu yang kebanyakannya berasal dari Kepulauan Indonesia yang memang terkenal pada suatu masa dahulu dengan adat dan kepercayaan Hindu serta Buddha. Walaupun Islam mula bertapak di Mataram, Majapahit dan seluruh Kepulauan Jawa namum sisa-sisa peninggalan Hindu dan Buddha masih kuat dalam pegangan mereka.


Di Semenanjung Malaysia sendiri terdapat berbagai keturunan seperti Melayu, Bugis, Mendiling, Rawa, Jawa, Banjar, Petani, Siam dan sebagainya dan terdapat juga yang berasal dari keturunan orang-orang Asli. Setelah memeluk Islam mereka telah membawa adat resam masing-masing di dalam agama Islam. Walaupun mereka berbeza dari segi suku keturunannya, namun mereka masih lagi tidak terlepas dari adat resam Hindu dan percampuran dengan adat dan amalan orang Asli.


Amalan-amalan kuno seperti puja tanduk lembu/kerbau, hantaran perkahwinan, sireh junjung, nasi tinggi, kelapa-garam-gula dan sebagainya, lenggang perut, kenduri 40/100 hari selepas kematian, sembelih ayam semasa buka gelanggang latihan pertahanan diri, sangkak/ancak untuk jamu Jin dan sebagainya adalah contoh amalan yang ada hubungan dengan pengaruh Hindu dalam adat resam orang-orang Melayu. Begitu juga adat resam, tingkah laku orang-orang asli sebelum Islam di ambil sebagai adat resam atau sebagai cara beragama yang mesti didahulukan, di tokok tambah lagi dengan redha dan lahapnya kita menerima membabi buta pengaruh kebudayaan penjajah yang memang merupakan suatu perancangan jangka panjang Yahudi dan Kristian khasnya untuk membunuh keperibadian muslim orang-orang Melayu yang berpegang teguh dengan agama Islam.


Sehingga kini amalan-amalan tersebut masih lagi hidup subur, walaupun telah berkali-kali seruan dakwah sampai kepada mereka supaya meninggalkan amalan tersebut, namun bagi sesetengah daripada mereka itu telah beranggapan bahawa adat-adat tersebut seolah-olah sebahagian daripada ajaran Islam yang mereka anuti. Maka dengan sebab itulah mereka telah mencampuradukkan antara ajaran Islam yang suci ini dengan adat resam yang karut lagi menyesatkan itu, yang semata-mata mengikut khayalan, kebijaksanaan pemikiran dan tahsinul ‘aqli mereka semata-mata sahaja..


Allah telah menganugerahkan kepada manusia khusus dan awam 8 perkara luar biasa yang mencarit adat yang boleh berlaku ke atas manusia. Perkara luar biasa itu bolehlah dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu, 4 perkara yang di puji dan 4 perkara yang di keji dan menyalahi ajaran Islam. Ramai daripada kalangan orang Islam sendiri yang terkeliru tentang konsep dan perbezaan perkara-perkara tersebut, kadang-kala masyarakat tidak dapat membezakan yang mana baik dan yang mana mesti dijauhi. Bagi menjelaskan kekeliruan itu maka diperturunkan serba ringkas tentang perkara-perkara tersebut, agar pembaca semua dapat membuat penilaian dengan sebaik-baiknya.



Empat Perkara Yang Di Puji


1. Irhas.
Irhas ialah perkara luar biasa yang di anugerahkan oleh Allah kepada Nabi-Nabi dan rasul-rasul semasa baginda masih kecil. Contohnya seperti Nabi Isa boleh bercakap semasa baginda masih dalam buaian. Perkara ini tidak menjadi kekeliruan kerana Nabi dan rasul telah tiada pada masa sekarang.


2. Mukjizat.
Mukjizat ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah hanya kepada Nabi-Nabi dan rasulnya sahaja bagi melancarkan usaha rasul-rasul tersebut menyampaikan dakwah dan risalah Allah. Contohnya seperti Mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh memahami bahasa semua binatang.


3. Karamah.
Karamah ialah suatu perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang mukmin yang berakhlak rasul dan benar-benar berpegang dengan ajaran Islam zahir dan batin. Hal ini adalah perkara biasa bagi Mereka. Karamah merupakan suatu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada diri zahir dan batin hamba-hambanya yang arif tentang Allah ( Arifbillah ) .
Mereka ini adalah merupakan orang-orang yang alim dan sentiasa beramal soleh. Mereka mahir sekurang-kurangnya tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin, Fekah dan tasauf serta mereka sentiasa beramal dengannya pada setiap masa dan kelakuan. Ikatan diri mereka sentiasa dengan Allah tanpa dapat dipengaruhi oleh alam sekeliling. Mereka dimuliakan oleh ahli di langit dan diperhinakan oleh kebanyakan ahli di bumi.


4. Maunah.
Maunah ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang mukmin awam yang soleh, yang apabila di timpa sesuatu musibah atau hal ke atas dirinya, mereka terus melipat gandakan pergantungan dan keimanan kepada Allah serta memantapkanya melalui berbagai-bagai wirid, jampi dan doa serta amalan-amalan sunat yang lain.
Maunah ini merupakan satu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada diri zahir dan batin hamba-hambanya yang soleh. Mereka arif tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin, Fekah dan tasauf tetapi kemampuan beramal mereka adalah terhad. Apabila berlaku sesuatu hal ke atas diri mereka samada mutlak dari Allah atau yang bersangkut paut dengan manusia, mereka terus melipatgandakan pergantungan diri dan keimanan kepada Allah serta memantapkan lagi dengan berbagai-bagai wirid, jampi, doa dan segala amalan sunat. Mereka tidak merasa sedih atau kecewa sekiranya permintaan mereka tidak ditunaikan oleh Allah.





Empat Perkara Yang Di Keji


Perkara luar biasa yang di keji oleh Allah ialah perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang biasa melalui pertolongan selain daripada Allah. Contohnya melalui pertolongan khadam-khadam yang terdiri daripada Jin dan Syaitan dan sebagainya. Perkara luar biasa jenis ini mestilah di jauhi oleh setiap orang Islam kerana ianya sesat dan menyesatkan. Perkara-perkara tersebut ialah :-


1. Istidraj
Istidraj ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada mereka yang berpura-pura beramal dengan amalan soleh, walaupun diri mereka mahir dengan fardhu ain, Usuluddin, fekah dan tasauf. Mereka berbangga dengan perkara luar biasa yang berlaku ke atas diri mereka sedangkan mereka mengetahui punca sebenar datangnya perkara luar biasa tersebut. Lazimnya golongan ini terikat dengan perjanjian serta mewujudkan pantang-larang yang selari dengan hukum syarak. Ini kerana khadam-khadam mereka adalah terdiri daripada golongan Jin Islam samada yang soleh, fasik atau terdiri daripada Jin yang kafir.
Setiap amalan wirid, jampi dan doa itu ada penjaganya (Khadam). Orang yang beramal dengan kaedah ini kebiasaannya mempunyai suatu perasaan tidak baik yang telah tersemat dalam diri mereka. Antara matlamat mereka ialah :-


a) Ingin di puja.

b) Ingin dikunjungi oleh orang ramai

c) Cinta kepada pangkat dan kebesaran

d) Ingin mendapatkan harta dan kuasa


Golongan khadam ayat dari golongan puak rohani alam rendah memang dijadikan Allah untuk menyukakan golongan yang seumpama itu dengan beberapa perkara luar biasa. Mereka pada zahirnya kelihatan seperti orang yang beriman dan sentiasa menjaga syariat Islam serta berakhlak Rasul tetapi sebenarnya mereka beramal dengan perkara-perkara kufur dan telah terjun ke lembah kekufuran, samada mereka sedari atau tidak.


Punca kesesatan golongan ini ialah apabila rohani-rohani alam yang rendah mengunjungi mereka dalam tidur ataupun semasa jaga, dengan rupa atas nama-nama orang-orang soleh samada yang masih hidup ataupun yang telah mati atau mereka membuat Tajalli ketuhanan. Lazimnya mereka dibebankan dengan beberapa syarat yang menepati hukum syarak untuk diamalkan sebagai syarat perjanjian persahabatan dalam semua kelakuan melalui lidah, anggota dan hati, di semua tempat, waktu dan masa. Maka bermula di saat itu diri mereka berada di dalam Syirik Uluhiyyah dan segala rupa bentuk amalan syariatnya tidak ada nilai di sisi Allah.
Mereka sebenarnya mengetahui dari mana datangnya zahir perkara luar biasa pada perkataan, perbuatan dan kasad hati, tetapi mereka enggan meninggalkan amalan tersebut kerana mereka ingin menjadi jaguh dalam bidang perubatan dengan mengadakan beberapa keajaiban dari berbagai-bagai jenis ubatan, kaedah perubatan dan sebagainya. Kadang-kadang melalui langkah mempertahankan diri. Mereka juga terjebak dalam permainan tunjuk kuat kebatinan supaya mereka di anggap orang yang paling makbul doanya atau paling keramat. Jika dia seorang ulama, maka dia inginkan supaya di kunjungi, di puja dan di hormati sebagai seorang Ahlillah secara mutlak, sedangkan dalam masa yag sama dia akan terasa hina dan hilang kewibawaan sebagai ulama, jika tiada pada dirinya, nyata beberapa perkara yang luar biasa.


2. Sihir.
Sihir ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-rang Islam yang durhaka (‘asi ) yang tidak faham aqidah, syariat dan ubudiah serta tidak beramal dengannya dan orang-orang yang fasik. Sihir juga diberikan oleh Allah kepada pendita-pendita bukan Islam samada Yahudi, Buddha, Nasrani, Majusi dan yang seumpama dengannya. Sihir ini terjadi melalui pertolongan daripada rohani Jin Islam yang fasik dan Jin-Jin yang kafir melalui perjanjian tertentu. Kebiasaannya golongan ini terikat dengan perjanjian dan mengadakan jamuan yang harus dan haram di sisi Syarak. Mereka mendapat perkara yang luar biasa ini adalah melalui pertolongan kumpulan Jin Islam yang fasik dan daripada Jin yang kafir.
Golongan orang Islam yang mendapat perkara luar biasa melalui kaedah ini selalunya sentiasa bergelumang dengan kejahatan dalam semua hal. Golongan ini sebenarnya Mulhid dan Zindik dalam bab aqidah. Selalunya mereka akan mengadakan berbagai cara atau upacara yang berselindung di sebalik ajaran Islam. Antara mereka yang termasuk dalam golongan ini ialah :-


a) Kumpulan Hassan Anak Harimau

b) Wali Suci

c) Budi (Buddha) Suci

d) Batin Sakti

e) Hakikat Insan

f) Pati Geni

g) Fahaman Wahdatul Ujud dalam I’itiqad

h) Baginda Mukhtar

i) Lain-lain kumpulan yang tumbuh bagaikan cendawan di negara ini.


3. Silap Mata.
Silap Mata adalah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang Islam yang fasik dan juga kepada orang-orang kafir, melalui pertolongan daripada Jin kafir. Oleh itu mereka juga terikat dengan perjanjian dan membuat perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak.


4. Sya’wazah.
Sya’wazah ialah perkara yang di kurniakan oleh Allah, yang berlawanan sama sekali daripada kehendak asal. Kebiasaannya perkara ini Allah berikan kepada golongan yang angkuh daripada orang-orang kafir. Misalnya apabila mereka meminta sesuatu yang baik, tetapi Allah kurniakan dengan sesuatu kejahatan yang berlipat ganda.







sumber : ABJAD MALAYSIA

No comments: